Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Isnin, 12 Januari. - Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Ke-14 (ASG14) yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam (NBD) dari 20 hingga 28 November 2025 telah mencipta sejarah bagi kontinjen negara apabila berjaya mencatatkan kutipan pingat keseluruhan tertinggi sejak penyertaannya, iaitu sebanyak empat pingat emas, empat pingat perak dan 10 pingat gangsa.
Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas usaha, pengorbanan serta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh para atlet-pelajar sepanjang penyertaan mereka pada temasya sukan berprestij berkenaan, Kementerian Pendidikan melalui Urus Setia Majlis Sukan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum mengadakan Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan (IKS) bagi penyertaan kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) di ASG14, Tahun 2025, NBD bertempat di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan insentif kecemerlangan sukan berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad / Mohamat, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, kejayaan yang dicapai bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan negara, malah mencerminkan disiplin, ketekunan serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan generasi muda kita.
Di samping pencapaian pingat secara keseluruhan, beliau turut mengongsikan berapa pencapaian lainnya buat pertama kalinya, iaitu sukan badminton berjaya menyumbang pingat gangsa dalam acara Berpasukan Lelaki, dua rekod kebangsaan telah diperbaharui oleh salah seorang atlet-pelajar dalam sukan renang, empat atlet-pelajar dalam sukan renang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir (Top 8 dalam acara masing-masing), dan seorang atlet-pelajar dalam acara 100 meter lelaki sukan olahraga berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
"Bagi pihak Kementerian Pendidikan, setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet-pelajar atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk para atlet-pelajar terus melangkah lebih jauh, bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kecemerlangan akademik.
"InsyaaAllah, pihak jabatan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan dalam merangka program-program latihan jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam mempersiapkan atlet-atlet pelajar yang berpotensi untuk mengikuti mana-mana kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa" ujarnya.
Majlis kemudiannya diserikan dengan tayangan video penyertaan kontinjen MS SSBD di Sukan ASG14 sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil dan insentif kepada atlet-atlet pelajar yang berjaya oleh tetamu kehormat majlis.
Para penerima insentif terdiri daripada seorang atlet daripada sukan olahraga, empat atlet daripada sukan renang, lapan atlet daripada sukan badminton, 14 atlet daripada sukan pencak silat dan tujuh atlet daripada sukan wushu.
Pemberian IKS berkenaan merupakan penghargaan atas pencapaian atlet-atlet pelajar di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Pemberian insentif berkenaan juga berperanan sebagai galakan serta motivasi agar para atlet pelajar akan terus berusaha meningkatkan prestasi mereka demi mencapai kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama MS SSBD dan NBD.
Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.